Barisan Nasional (BN) akan terus memastikan martabat wanita Malaysia akan terus diperjuangkan, kata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi.

Perdana Menteri yang membuat kejutan apabila muncul pada majlis Wanita Ratu Hati Negaraku di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini memberikan komitmen berkenaan dalam ucapan ringkasnya di mana beliau turut melahirkan penghargaan kepada kaum wanita Malaysia.

“Saya cuma hendak katakan bagi pihak kerajaan BN apa saja terkandung dalam manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menunjukkan wanita bukan sahaja ratu hati negara tapi tiang tunjang negara,” katanya lagi.

Jelas Perdana Menteri, BN akan pastikan wanita Malaysia dapat memainkan peranan yang lebih bermakna sebagai ibu, isteri dan wanita bekerjaya.

Sebelum itu  Ketua Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata Barisan Nasional (BN) menawarkan formula untuk membahagia dan menjayakan kehidupan kira-kira 15.3 juta wanita Malaysia yang disifatkan sebagai tiang seri dan kunci kejayaan negara

Beliau berkata kebajikan mereka sememangnya diperjuangkan termasuk menerusi manifesto BN untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang memberi keutamaan kepada golongan wanita selaku tulang belakang negara.

Menurutnya, 12 kelompok kumpulan sasar merangkumi ibu dan wanita tunggal, wanita muda, wanita bekerjaya, pemimpin wanita, wanita pendidik, wanita veteran, usahawan wanita, wanita Felda, wanita seni kreatif, wanita digital, wanita sihat dan wanita selamat diberi perhatian secara khusus.

“Indahnya manifesto ini ialah wanita bukan hanya dibahagiakan oleh satu bab khusus untuk wanita, malah jika diteliti helai demi helai, lebih 80 peratus daripada 364 inisiatif di dalam manifesto ini dizahirkan untuk menjayakan wanita termasuk juga jaminan bagi orang muda,” katanya

Pada majlis itu, Shahrizat yang juga Ketua Wanita UMNO memberi gambaran jelas dan mengupas satu-persatu inisiatif BN dalam memartabatkan kaum wanita di negara ini.

Daripada 31.7 juta penduduk Malaysia, hampir 50 peratus adalah perempuan, menjadikan kepentingan golongan itu dalam struktur masyarakat tidak boleh dipinggirkan, dengan kerajaan BN yang memerintah sentiasa komited meningkatkan kualiti hidup mereka.

Shahrizat seterusnya berkata setelah enam dekad BN menerajui negara, banyak pencapaian membanggakan dilakar oleh golongan wanita.

Antaranya sehingga kini, institusi pengajian tinggi diisi 70 peratus wanita, sebanyak 54.3 peratus tenaga kerja di pasaran digerakkan oleh wanita manakala 51 peratus daripada pengundi di negara ini terdiri daripada wanita. Selain itu, 36 peratus pegawai awam Malaysia adalah terdiri daripada golongan wanita.

“Siapa sebenarnya yang menentukan arah tuju negara, siapa sebenarnya yang akan menentukan parti mana yang menang pilihan raya jika bukan kita, wanita. Ingat, suara wanita boleh membawa gelombang yang luar biasa.”

“Maka dengan itu, sebagai menyambut mandat perdana menteri untuk terus membahagia dan menjayakan wanita, kami wanita (BN) dengan penuh iltizam mengangkat 364 inisiatif, 14 teras dan 25 inisiatif khusus untuk wanita merentasi 12 kumpulan sasar utama,” katanya merujuk kepada manifesto berkenaan.

Shahrizat menjelaskan, 25 inisiatif untuk wanita dalam manifesto BN bukan hanya menekankan Indeks Pencapaian Utama (KPI) sebagai penanda aras pencapaian yang baik malah memperjuangkan untuk mencapai Indeks Spiritual Utama (KSI) serta Indeks Kebahagiaan Utama (KHI).

Dalam kupasannya mengenai manifesto itu, Shahrizat menyentuh tawaran BN bagi membela kebajikan 235,000 ibu tunggal terutama dari kumpulan B40 melalui peluang meningkatkan kemahiran diri menerusi pelbagai program seperti Kursus Asuhan PERMATA.

Bagi wanita muda yang ingin memulakan kerjaya, manifesto BN antara lain menawarkan kepada 680,000 graduan wanita potensi mendapat kerja awal melalui SL1M 2.0.

Bagi wanita bekerjaya, BN menawarkan waktu kerja anjal untuk ibu-ibu yang memiliki anak di bawah dua tahun bagi memudahkan mereka menguruskan keluarga.

Untuk golongan usahawan wanita, BN berjanji menubuhkan pusat transformasi usahawan wanita di setiap negeri dengan menggunakan model holistik PASARNITA yang menawarkan ruang niaga dan melebarkan jaringan perniagaan serta khidmat nasihat keusahawanan selain mempamerkan produk dan jenama.

Shahrizat seterusnya menyentuh janji BN untuk menubuhkan Majlis Kehakiman Syariah Kebangsaan yang dipengerusikan perdana menteri sebagai jawatankuasa induk bagi membincang dan menyelaras isu-isu berkaitan hal ehwal perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bagi menjamin keselamatan wanita, beliau memberi tumpuan kepada janji BN untuk menggubal Akta Gangguan Seksual dan menambah jumlah kamera litar tertutup definisi tinggi (CCTV HD) di kawasan yang banyak berlaku kegiatan jenayah.

Turut disentuh Shahrizat ialah tawaran pemeriksaan kesihatan rutin tanpa syarat di klinik kesihatan kerajaan bagi yang berumur 35 hingga 40 tahun .

Shahrizat berkata bagi kumpulan wanita pendidik, BN akan meningkatkan kualiti dan kepakaran pihak berkepentingan dalam pentadbiran Islam seperti imam, guru kafa, guru agama, pegawai syariah dan hakim mahkamah syariah.

Selain itu, BN turut komited membantu surirumah mengurus perbelanjaan keluarga antaranya melalui BR1M, Pas pengangkutan TN50, Kad Diskaun Khas Pelajar dan bantuan kewangan anak masuk ke institut pengajian tinggi.

Najib ketika mengumumkan manifesto BN untuk PRU14 pada 7 April lepas menggariskan 14 teras utama yang bermula dengan fokus kepada golongan wanita dan kaum ibu. Ia selari dengan 2018 yang diisytiharkan sebagai Tahun Memperkasa Wanita.

Beliau ketika itu turut menyatakan komitmen BN untuk memperkasa wanita sebagai isteri, ibu, anak dan wanita bekerjaya bagi membolehkan mereka mengimbangi peranan dan tanggungjawab.

Peta Pembangunan