DESAKAN LETAK JAWATAN, HAKIM BERSARA KRITIK PENASIHAT PM

 

Hakim bersara Datuk Seri Gopal Sri Ram mengkritik ketua penasihat perdana menteri, Tun Daim Zainuddin kerana mengenakan tekanan dalam menuntut peletakan jawatan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan.

“Adalah salah dan bertentangan dengan perlembagaan bagi sesiapa selain perdana menteri untuk memanggil ketua hakim negara, malah mana-mana hakim atas apa-apa juga sebab,” kata Sri Ram dalam kenyataan seperti yang dilaporkan portal Free Malaysia Today.

“Daim bukan PM dan kalau pun beliau diminta oleh perdana menteri melakukan perbuatan yang dilakukannya itu, beliau mesti menolaknya dan menyerahkan kepada peguam negara, perdana menteri atau Kabinet menanganinya,” kata beliau.

Pada masa sama, beliau turut mengkritik 2 hakim tersebut kerana pergi berjumpa Daim, dan juga kerana menerima kontrak baru melampaui umur persaraan yang boleh menyebabkan mereka dipandang rendah – “dilayan seperti budak pejabat”.

Sri Ram menggesa pemimpin kerajaan menghormati prosedur perlembagaan dan tidak mengulangi amalan lama yang tidak menghormati prinsip pengasingan kuasa.

Beliau berkata, bukan lagi rahsia bahawa baru-baru ini Daim, pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, memanggil Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin ke pejabat peribadinya di Jalan Ampang dan menuntut mereka meletakkan jawatan.

Katanya perbuatan itu salah walaupun jika niatnya baik, dan ia boleh menjadi duluan yang membuka pintu bagi campur tangan lain pada masa depan.

Beliau turut mengkritik hakim terlibat kerana pergi menemui Daim atas permintaannya. Sekiranya keduanya percaya penerusan perkhidmatan mereka wajar, mereka seharusnya menolak permintaan itu dengan hormat.

Amalan lama yang tidak menghormati prinsip pengasingan kuasa dan pematuhan kehendak perlembagaan tidak sepatutnya diulangi, kata bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu.

Raus dan Zulkefli sebelum ini dikritik kerana menerima pelanjutan perkhidmatan dengan kontrak baru melampaui umur persaraan wajib. Majlis Peguam dan Majlis Peguam Sarawak memfailkan permohonan mencabar kontrak lanjutan mereka di Mahkamah Persekutuan.

Pemimpin politik seperti Lim Kit Siang dan beberapa yang lain menuntut mereka meletakkan jawatan.

Sri Ram berkata, sekiranya ketua hakim negara berasa perlu meletak jawatan, beliau harus berjumpa perdana menteri dan menyerahkan surat yang dialamatkan kepada Yang di-Pertuan Agong seperti ditetapkan bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, perdana menteri merupakan ketua eksekutif, speaker Dewan Rakyat ketua cabang legislatif, sementara ketua hakim negara mengetuai cabang kehakiman.

“Ketua hakim negara perlu berurusan dengan perdana menteri dalam perkara berkaitan pelantikan, kenaikan pangkat dan pengunduran (termasuk persaraan dan peletakan jawatan),” kata Sri Ram.

Sri Ram mendesak kedua-dua hakim terbabit meletak jawatan serta merta dan tidak berkeras meminta korum 7 hakim Mahkamah Persekutuan membuat keputusan ke atas cabaran guaman yang dihadapi kerana ia akan “memaksakan beban tidak munasabah ke atas hakim yang lain”.

Laluan alternatif ialah peguam negara menulis surat kepada mahkamah memaklumkan kerajaan sekarang tidak lagi menyokong pelantikan berkenaan sebagai mematuhi perlembagaan.

“Ini akan membawa maksud penghakiman kes tidak perlu dan memberi jalan keluar mudah kepada ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan,” tambahnya.

Raus dan Zulkefli dilantik ke jawatan masing-masing pada 1 April tahun lepas dan dijadualkan bersara pada 3 Ogos dan 27 September kerana sampai umur persaraan wajib iaitu 66 tahun tambah 6 bulan.

Bagaimanapun pada 7 Julai, kerajaan memaklumkan Raus akan kekal berkhidmat selama 3 tahun lagi dari 4 Ogos, sementara kontrak Zulkefli ditambah 2 tahun dari 28 September.

Berita Terkini

Peta Pembangunan