UMNO TOLAK CUBAAN JAHAT HINA DAN PERLEKEH INSTITUSI RAJA

UMNO_logo.svg_.png

 

UMNO menolak apa sahaja cubaan jahat yang menghina dan memperlekehkan institusi diraja bagi menghakis perasaan taat setia rakyat kepada raja-raja Melayu.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO berkata, parti itu mahu langkah-langkah pencegahan diambil terhadap sebarang tindakan provokatif yang menolak sikap taat setia kepada raja supaya prinsip Rukun Negara terus dipelihara.

Menurut unit tersebut, UMNO bimbang dengan penularan budaya kebiadaban dalam kalangan individu dan pihak tertentu yang berselindung atas nama hak kebebasan bersuara serta sengaja ditanam bertujuan menghakis rasa taat setia kepada raja-raja Melayu.

“Jangan cuba-cuba mengheret rakyat untuk tidak lagi menghormati dan mendaulatkan raja-raja yang menjadi lambang sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di negara ini.

“Kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh berdiam diri sebaliknya mengambil tindakan tegas dan telus bagi mengekalkan sebarang peruntukan yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di samping tidak mengambil pendirian umpama ‘baling batu sembunyi tangan,” kata unit berkenaan dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah memper­kenankan cadangan pelantikan kerajaan Pakatan Harapan bagi melantik Tommy sebagai Peguam Negara yang baharu menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali, semalam.

Mengulas lanjut, UMNO berikrar untuk terus berdiri teguh di bawah panji-panji Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja di samping memastikan tidak wujud sebarang pertelingkahan melibatkan pelantikan Tommy serta akan terus memelihara kedaulatan institusi diraja.

Jelas unit berkenaan, parti itu mengambil pendirian meletakkan sepenuhnya kuasa di atas kebijaksanaan dan pertimbangan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja meskipun banyak pihak membantah pelantikan tersebut.

“UMNO berdiri teguh bersama raja-raja Melayu untuk mempertahankan hak-hak yang melibatkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang terdapat dalam Perkara 3 (1).

“Di samping itu, UMNO juga akan terus mempertahankan kedudukan raja-raja Melayu se­perti Perkara 38, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam Perkara 152 dan kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu seperti Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata unit tersebut.

Berita Terkini

Peta Pembangunan