KERAJAAN PUSAT FAHAM, PRIHATIN ASPIRASI RAKYAT SERAWAK – ABANG JOHARI

Kestabilan politik dan perpaduan Sarawak yang dinikmati sejak beberapa tahun lepas membolehkan ia berjuang serta mendapatkan kembali beberapa hak negeri menerusi Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang semakin terhakis pada masa lampau.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kesinambungan kestabilan politik dan perpaduan membolehkan Sarawak bergerak lebih jauh lagi dalam usaha mendapatkan semula hak-haknya, di samping meningkatkan proses penurunan kuasa kepada Sarawak.

Beliau berkata Sarawak menerima begitu banyak manfaat daripada Kerajaan Persekutuan, yang boleh dijadikan sebagai testimoni bagaimana Kerajaan Persekutuan memahami dan prihatin dengan aspirasi rakyat Sarawak.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, perkara inilah yang amat penting untuk kita di Sarawak. Justeru, esok marilah kita semua mengundi untuk terus membaiki kualiti hidup rakyat Sarawak,” katanya menerusi amanat yang disebarkan kepada rakyat seluruh negeri.

Katanya rakyat Sarawak perlu keluar mengundi untuk terus mempertahankan hak Sarawak serta memelihara keharmonian dan perpaduan negeri.

“Pilihan yang anda lakukan pada peti undi esok akan menentukan bagaimana Sarawak bakal membangun dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dalam dunia yang lebih bersifat global dan bersaing hebat, yang mana teknologi lebih berperanan penting,” katanya.

Berita Terkini

Peta Pembangunan