BN KOMITED BANTU USAHAWAN MUDA

 

Barisan Nasional (BN) komited membantu golongan muda yang berhasrat melibatkan diri dalam perniagaan, kata Pengerusi BN Sabah Tan Sri Musa Aman.

Ketua Menteri Sabah itu berkata komitmen itu yang dilaksanakan menerusi pemberian bantuan khususnya melalui agensi kerajaan bagi menggalakkan inisiatif golongan muda untuk menjana pendapatan.

“Hasrat kita dapat menjana pendapatan orang muda untuk berdikari. Sebab itu BN sentiasa memberi perhatian kepada golongan anak muda khususnya membantu mereka untuk menjana pendapatan.

“Usaha kita untuk memberi peluang kepada anak muda supaya mereka boleh berjaya apa juga lapangan mereka terokai,” katanya pada Majlis Penyerahan Motosikal Mobilepreneur semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Borhan Dollah dan Ketua Pegawai Eksekutif Giatmara Jamal Nasir Othman.

Seramai 155 usahawan muda di daerah ini menerima bantuan motosikal di bawah program KKLW.

Mereka terlibat dalam perkhidmatan antaranya spa dan kecantikan, fotografi, senggaraan bangunan, senggaraan paip dan gunting rambut.

Musa yang juga Pengerusi BN Sabah berkata komiten BN terhadap golongan muda turut diberi keutamaan dalam Manifesto pilihan raya umum ke-14 ini.

Dalam manifesto BN PRU Ke-14, antara yang digariskan untuk orang muda adalah meningkatkan pendapatan dan kemahiran, memperkasa ekonomi belia luar bandar, memudahkan usahawan muda mendapat bantuan dan meringankan beban keluarga muda. Bernama

Berita Terkini

Peta Pembangunan