6 TERAS UTAMA DALAM MANIFESTO BN PULAU PINANG

 

Pembatalan projek terowong dasar laut, disenaraikan di antara 60 tawaran dalam 6 teras utama Manifesto Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang diumumkan semalam, selain penyelesaian isu banjir, bukit botak, perumahan rakyat dan kesesakan lalu lintas.

Teras lain dijanjikan BN Pulau Pinang jika kembali mendapat mandat pada PRU-14 ialah pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pelancongan warisan, termasuk parkir percuma 2 jam pertama di petak letak kereta tepi jalan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

 Selain itu, BN Pulau Pinang juga berjanji menyalurkan dana sebanyak RM2,000 untuk pasangan yang berkahwin buat kali pertama.

Bertema “Selamatkan Pulau Pinang: Janji-Janji BN Pulau Pinang” manifesto mengandungi 60 tawaran itu dilancarkan Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow, di hadapan lebih 3,000 penyokong BN di sebuah hotel, di sini, semalam.

Chang Yeow berkata, manifesto yang dibentang pakatan diterajui DAP, hanya semata-mata janji kosong kepada rakyat, selain ingin mengejar populariti.

“Mereka (pakatan diterajui DAP) bagi janji ibarat ‘tiada esok bagimu’. Sebanyak 51 janji yang dibuat di Pulau Pinang sejak 2008, sampai sekarang masih belum ditunaikan lagi.

“Selama 10 tahun DAP mentadbir Pulau Pinang, mereka hanya lakukannya (tadbir) tanpa satu pelan induk yang kukuh. Mereka hanya teruskan dan ubah suai apa yang pernah kita (BN) rancang dahulu.

“Pentadbiran mereka yang tidak sistematik ini membuatkan Pulau Pinang di ambang kehancuran. Pembangunan di kawasan berkepadatan tinggi, bukit digondolkan dan masalah banjir, tidak pernah berlaku ketika BN memerintah.

“Berikutan itu kita perlu selamatkan Pulau Pinang daripada terus hancur dibawah DAP,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Chang Yeow berkata, BN Pulau Pinang berjanji menghentikan pembangunan kawasan bukit dan lereng bukit serta merta di kawasan melebihi 250 kaki dari paras laut, serta mewartakan kawasan melebihi 250 kaki dari paras laut sebagai kawasan hijau kekal.

Sementara itu, antara tawaran kepada belia yang mendapat sorakan ramai ialah pemberian dana khas kepada pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan buat pertama kali, sebanyak RM2,000.

BN Pulau Pinang juga berjanji menghapuskan surcaj air, memberi bekalan percuma kepada kumpulan miskin tegar dan tidak akan menaikkan tarif air kepada kediaman selama lima tahun.

Dalam usaha membangunkan ekonomi Pulau Pinang, BN negeri berjanji menurunkan sewa tapak penjaja pasar, gerai dan tapak penjaja sementara pada kadar hanya RM10 sebulan, selain menghapuskan sistem penswastaan tapak penjaja asal, gerai dan tapak sementara.

Sebagai tawaran untuk wanita di Pulau Pinang, BN Pulau Pinang akan menyediakan kuota khas bagi wanita bujang dan ibu tunggal untuk pemilikan rumah kos rendah atau mampu milik.

Berita Terkini

Peta Pembangunan