Rumah Selangorku: Jelaskan Perkara Sebenar

 NO 009.JPG

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar menggesa kerajaan negeri Selangor supaya berhenti berdolak-dalik dan jelaskan kepada rakyat punca sebenar pembinaan sembilan projek Rumah Selangorku dibatalkan.

Menurut Noh, kenyataan bercanggah diantara Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Datuk Iskandar Samad dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkenaan pembatalan projek itu perlu diperjelaskan kepada rakyat.

“Exco (Iskandar) kata pembatalan 9 projek Skim Rumah SelangorKu kerana pihak pemaju tak dapat Kebenaran Merancang. Menteri Besar (Azmin) pula menyalahkan pemaju kerana mahu bina rumah mahal.

“Bagi saya, kedua-dua alasan ini tak boleh pakai, kongkalikong sebab nak elak kegagalan mereka sediakan rumah mampu milik untuk rakyat yang dijanjikan sebelum ini.”

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mendedahkan aduan daripada pihak pemaju mengenai dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor yang memberi tekanan kepada pemaju untuk membina Skim Rumah SelangorKu.

Katanya, aduan itu dikemukakan pihak pemaju kepada pihaknya yang antara lain menyatakan kerajaan PH Selangor mengenakan pelbagai caj yang terlalu tinggi seperti premium tanah, caj pembangunan dan sebagainya.

“Sedangkan kerajaan negeri tidak keluarkan satu sen pun untuk membina Rumah Selangorku. Akhirnya pihak pemaju terbeban dan tidak sanggup untuk membina rumah di bawah skim itu,” jelas Noh.

Berita Terkini

Peta Pembangunan