Sekatan Import Minyak Sawit Malaysia Oleh EU Bersifat Diskriminasi

FW671668_KL17_070218_PARLIMEN_BN201802068165-scr.jpg

 

Resolusi Parlimen Kesatuan Eropah (EU) untuk menyekat import bahan api-bio berasaskan minyak sawit menjelang 2020 mendapat perhatian anggota Parlimen Belia hari ini yang menyifatkan tindakan itu bersifat diskriminasi dan berbaur politik.

Wakil Terengganu, Nur Atikah Natasha Zoo ketika membahaskan usul mengenai sekatan itu berkata resolusi berkenaan tidak berasas dan mencerminkan diskriminasi terhadap komoditi utama negara.

Beliau berkata tindakan itu juga akan menjejaskan lebih 650,000 pekebun kecil kelapa sawit dan 3.2 juta rakyat yang bergantung hidup dengan industri berkenaan di negara ini.

“Resolusi itu memberi kesan besar terhadap Malaysia, bukan sahaja dari segi ekonomi, malah terhadap pendapatan pekebun kecil kelapa sawit yang bergantung kepada penjualan hasil eksport berkenaan. Apakah nasib peneroka kita yang bergantung kepada pendapatan daripada jualan kelapa sawit ini,” katanya pada sesi perbahasan persidangan hari pertama bagi penggal 2017-2018 hari ini.

Usul tersebut dicadang Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat dan Kesihatan.

Pada 17 Januari lepas, Parlimen EU meluluskan resolusi yang menetapkan hanya minyak sawit yang dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020, susulan kebimbangan impak komoditi itu terhadap alam sekitar.

Tindakan itu mendapat bantahan keras beberapa negara khususnya Malaysia dan Indonesia sebagai negara pengeluar minyak sawit dunia kerana ia akan memberi kesan negatif ke atas import minyak sawit ke EU dan kesan amat buruk ke ats ekonomi negara pengeluar.

Nur Atikah juga menegaskan berdasar hasil kajian beliau, Malaysia tidak pernah menggunakan buruh paksa kanak-kanak dalam sektor perladangan sawitnya sepertimana didakwa EU. “Kami perwakilan belia akan terus membela nasib peneroka dan berharap usul ini akan diluluskan. Kami berjuang dengan ‘tagline’ #BeliaforSawitWar dan #VictoryforSawitWar,” katanya.

Wakil Kedah, S. Selvakumaran berpendapat bahawa tindakan Malaysia menjalin kerjasama dengan beberapa negara pengeluar lain seperti Indonesia bagi menyatakan bantahan terhadapa resolusi itu adalah tepat.

Wakil Sabah, Nur Shafiqah Zairina S. Zamzani pula menggesa kerajaan mengambil tindakan balas dengan menyekat kemasukan produk-produk dari Eropah.

Persidangan bersambung esok. Penggulungan perbahasan dijadualkan pada 5 petang oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Berita Terkini

Peta Pembangunan