SUPP Bersedia Untuk PRU 14

 SUPP 002.JPG

Sarawak United People’s Party (SUPP) dengan lantang menyuarakan kesediaan mereka untuk ‘perang’ menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Bertempat di Dewan Sa’ati, Ibu Pejabat SUPP, Kuching, gema sorak-urai delegasi-delegasi yang hadir terus dihangatkan dengan ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Majlis Penutup Persidangan Perwakilan yang 24 SUPP dimulakan dengan ucapan oleh Presiden SUPP Senator Datuk Prof. Dr. Sim Kui Hian yang menyuarakan kesediaan SUPP untuk berusaha keras.

“Kita mesti menjalankan tugas kita, untuk memastikan apabila tiba PRU14 nanti, kita bersedia untuk berlawan habis-habisan.

“Kita telah membina ‘rumah’ kita bersama dan kita mahu menang besar apabila tiba PRU14 nanti.

“I am in for a stronger Sarawak and I am in untuk Sarawak 31.

“Datuk Seri (Najib Tun Razak), kami bersedia untuk memberi sehabis baik dan kami bersedia untuk ‘perang’.”

Pada masa yang sama Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana meletakkan Sarawak dekat di hati beliau.

“Inilah seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan Sarawak dekat di hati beliau.

“Kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang mahukan Malaysia yang kuat, yang mahukan Malaysia yang bersatu.”

Beliau turut menyentuh matlamat Barisan Nasional Sarawak untuk merampas kembali baki kerusi yang dimilikki pembangkang.

“PRU14, kita mesti ambil balik lagi banyak kerusi yang tinggal ini.

“Saya boleh beritahu anda, apabila kita bersatu kita boleh membina Sarawak .

“Kita tahu bagaimana caranya untuk membangunkan negeri kita.

“Jika hati anda untuk rakyat, bukan untuk kepentingan peribadi, ‘rumah’ kita adalah Malaysia dan Sarawak.”

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi fokus ucapan beliau kepada SUPP.

“Kita memerlukan SUPP yang kuat, kerana jika kita mahu memperkasakan Sarawak, antara komponen penting adalah SUPP yang kuat.”

Beliau menggariskan tiga perkara penting yang perlu diberi fokus oleh SUPP sebagai sebuah parti.

“Terdapat tiga perkara yang saya mahukan, pertamanya saya mahukan adalah perancangan.

“Kerana apabila anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal.  

“Kedua adalah kebolehan anda untuk melaksanakan perancangan anda, kerana ada kalanya ada antara kita yang boleh merancang tetapi gagal melaksanakan.

“Ketiga adalah kepentingan kesatuan dan solidariti, duduk bersama rakyat dan beritahu mereka kenapa SUPP dan Barisan Nasional adalah yang terbaik untuk Sarawak.”

Najib turut menyampaikan kepentingan Barisan Nasional sebagai pilihan rakyat.

“Kita mempunyai visi yang jelas, agenda yang hebat dan kita telah mengotakan janji kita.”    

Berita Terkini

Peta Pembangunan