Ahli parlimen BN Bakal Berlepas Ke Bangladesh, Tinjau Misi Kemanusiaan Rohingya

FW644078_KL23_221117_TPM-scr.jpg

 

Lapan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan berlepas ke Bangladesh bagi meninjau misi kemanusiaan Rohingnya di negara itu.

Uniknya rombongan kali ini akan turut disertai oleh empat ahli Parlimen dari blok Pembangkang iaitu dua orang Ahli Parlimen PAS dan dua orang Ahli Parlimen PKR.

Misi yang akan disertai 12 Ahli Parlimen itu akan berlepas ke Bangladesh, pada Jumaat ini.

Di dalam misi kali ini, rombongan ini akan turut membawa bantuan berupa barangan asas seberat 25 tan hasil sumbangan syarikat multinasional Halal di Malaysia akan diterbangkan ke Bangladesh untuk membantu meringankan beban ditanggung pelarian Rohingya di sana.

Sumbangan itu, sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Halal (HDC) yang dikenali sebagai ‘Misi Kemanusiaan Halal Malaysia Untuk Pelarian Rohingya di Bangladesh’.

Hadir melancarkan misi kemanusiaan itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di perkarangan Parlimen, hari ini.

Dengan keprihatinan syarikat berkenaan menaja misi itu, Ahmad Zahid berterima kasih kepada mereka yang tampil membantu memberi sumbangan barangan keperluan asas bagi meringankan penderitaan etnik Rohingya di Bangladesh.

Beliau turut mengumumkan, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee akan mengetuai rombongan misi kemanusiaan Rohingya ke Bangladesh yang akan berlepas ke Bangladesh, Jumaat ini.

“Beliau bersama dengan 12 lagi ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang akan ke kem pelarian Kutupalong di Cox’s Bazaar, Bangladesh pada lusa ini,” katanya.

Turut hadir adalah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin serta wakil syarikat penaja.

Berita Terkini

Peta Pembangunan