Adun BN Persoal Janji Tender Terbuka Kerajaan DAP Pulau Pinang

bn PP_ 1.png

 

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mempersoal tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang didakwa gagal mempraktikkan sistem tender terbuka secara keseluruhan seperti dijanjikan selepas memerintah negeri itu pada 2008.

Datuk Shah Headan Ayoob Shah (BN-Teluk Bahang) berkata kerajaan di bawah pentadbiran DAP menjanjikan mereka akan mengamal sistem tender terbuka terhadap semua projek kerajaan negeri selepas memimpin negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga harus mengemukakan statistik jumlah syarikat swasta yang telah menerima tender secara tertutup atau rundingan.

“Kalau betul hanya satu peratus sahaja projek pembangunan di negeri ini dijual secara tender tertutup, kerajaan negeri perlu beri statistik itu, jangan hanya cakap tanpa fakta,” katanya ketika Ketua Menteri Lim Guan Eng menggulung perbahasan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Ketua Pembangkang DUN Datuk Jahara Hamid pula berkata pihaknya juga ingin mendapat jawapan daripada kerajaan negeri yang lewat mendedahkan penjualan tanah di Lebuh Peel walaupun perjanjian dimeterai dalam tempoh lama.

“Kami faham kerajaan negeri mahu lakukan pelaburan strategik dengan menjemput pelabur luar masuk ke negeri ini tetapi kenapa mahu sorok dan pada hari ini hanya membentangkan secara lisan tanpa terma yang tepat,” katanya.

Terdahulu, Lim berkata tanah Lebuh Peel yang dijual kepada Island Hospital untuk menarik pelaburan RM2 billion yang berpotensi dan akan membawa industri perubatan pelancongan negeri kepada tahap yang lebih tinggi.

“Ini projek istimewa seperti Ikea yang akan menjadi ‘economic game-changer’ untuk Pulau Pinang juga tidak ditawarkan secara tender terbuka,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa terdapat satu peratus daripada pemberian projek dan kontrak kerajaan negeri tidak mengikut sistem tender terbuka dan 99 peratus daripada projek bernilai hampir RM38 bilion negeri diberi adalah menerusi tender terbuka.

“Mengapakah hanya satu peratus nilai projek yang tidak diberi secara tender terbuka untuk menarik pelaburan penting dipersoalkan,” katanya.

Berita Terkini

Peta Pembangunan