Negeri Sembilan tak campur senarai akhir calon

 

Seremban: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan tidak campur tangan dalam penentuan calon bakal bertanding di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata semua bahagian parti komponen BN menghantar senarai nama terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Senarai nama calon itu tidak ditapis badan perhubungan peringkat negeri. Malah, banyak agensi lain turut menghantar nama calon kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan.

“Buat masa ini, semua nama itu sedang melalui proses saringan rekod jenayah, insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan hanya calon yang benar-benar bersih disenarai pendek,” katanya di sini, semalam.

Calon boleh menang

Mohamad berkata, Perdana Menteri mempunyai maklumat daripada pelbagai sumber untuk menentukan senarai akhir calon BN yang menepati kriteria ‘boleh menang’.

Justeru, katanya semua pihak perlu akur dengan calon yang akan diumumkan Perdana Menteri kelak seterusnya memberi sokongan padu kepada mereka bagi memastikan kemenangan BN di negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, bilangan kerusi dan kawasan ditandingi parti komponen BN dalam PRU-13 sama seperti PRU-12.

“Tiada perubahan atau pertukaran kerusi. Semua parti komponen sudah berbincang dan bersetuju mengenainya. Perdana Menteri juga sudah dimaklumkan mengenainya,” katanya.

Artikel penuh : Berita Harian

Berita Terkini

Peta Pembangunan