Kesungguhan kita untuk menyediakan keperluan asas dan perkhidmatan pada harga yang rendah dibuktikan dalam produk 1Malaysia seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan Menu Rakyat 1Malaysia. Di Sabah dan Sarawak, Skim Penyeragaman Harga, subsidi pengangkutan dan KR1M sangat membantu menurunkan harga barangan. Dasar Agro Makanan Negara telah diperkenalkan untuk memastikan harga bekalan asas makanan terjamin dan terjangkau.

Untuk semua rakyat, bantuan RM100 setiap pelajar dan RM250 skim Baucar Buku 1Malaysia membantu meringankan beban perbelanjaan. Bantuan BR1M untuk isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 dan individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000 pula memberikan kelegaan yang disambut baik oleh banyak pihak.

Dalam tempoh LIMA tahun ini, kami berjanji untuk:

  • Menambah BR1M sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk bujang dengan bantuan secara tahunan dikekalkan
  • Mempertingkatkan Baucar Buku 1Malaysia kepada RM300 dan Bantuan Persekolahan kepada RM150
  • Menyemak semula Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat-peringkat antara 20 hingga 30 peratus serta meningkatkan daya saing kereta nasional
  • Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia
  • Memperkenalkan produk 1Malaysia di stesen minyak dan pasar raya besar
  • Membuka Klinik 1Malaysia di dalam kawasan komuniti padat penduduk
  • Menyediakan lebih banyak Pusat Jagaan Harian 1Malaysia untuk ibu bapa bekerja
  • Menurunkan yuran jalur lebar sekurang-kurangnya 20% dengan jaminan bandwidth internet
  • Memperkenalkan dasar 1Negara 1Harga bagi barangan keperluan asas
  • Memperkenalkan lebih banyak produk 1Malaysia yang digerakkan oleh GLC dan sektor swasta

Setakat ini, kami telah:

  • Memperuntukkan RM6.4 bilion pada 2012-2013 untuk BR1M, Baucar Buku 1Malaysia dan Bantuan Persekolahan
  • Membelanjakan RM586 juta dalam tempoh dua tahun terakhir untuk Skim Penyeragaman Harga bagi memastikan harga barangan asas di Sabah dan Sarawak adalah sama dengan Semenanjung
  • Membuka 85 KR1M di seluruh negara
  • Membuka empat jelapang padi baharu dengan gabungan keluasan 19,000 hektar
  • Membelanjakan RM134.8 bilion sejak 2010 bagi pelbagai subsidi seperti beras, tepung, gula, bahan api dan bahan tenaga serta bantuan pendidikan dan kebajikan sosial
  • Memperuntukkan RM150 juta untuk mewujudkan 100 buah Pusat Internet 1Malaysia dalam bandar untuk manfaat golongan miskin bandar
  • Melaksanakan inisiatif rasionalisasi subsidi bagi memastikan subsidi hanya dinikmati oleh kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan
  • Memperkenalkan geran pelancaran RM10,000 dan pengecualian cukai untuk penubuhan pusat jagaan harian dan pendidikan awal kanak-kanak