29 Oktober 2013

 

PETRONAS berada di tempat kelima tertinggi dalam indeks keseluruhan pelaporan korporat syarikat di pasaran sedang pesat membangun menerusi kajian Transparency International.

Mengikut kajian badan pengawasan rasuah global yang bertajuk ‘Ketelusan di dalam Pelaporan Korporat: Menilai Multinasional Pasaran Sedang Pesat Membangun’, PETRONAS mencapai skor tertinggi untuk kategori Syarikat Tidak Tersenarai Terbaik, kata syarikat minyak nasional itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Forum separuh hari

Selaras dengan dasar toleransi sifar ke atas rasuah dan sogokan, PETRONAS semalam mengadakan forum separuh hari bagi membincangkan, mendapatkan pandangan dan berkongsi perspektif mengenai amalan terbaik di dalam integriti dengan pelbagai pemimpin industri, badan kerajaan dan agensi pencegah rasuah.

Program Sokongan Integriti Korporat Petronas bertemakan ‘Designing Corruption out of the Business Eco-system’, dianjurkan bersama-sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia.

Forum itu diadakan bersempena Hari Integriti Nasional tahunan yang akan diadakan pada 5 November ini.

Program itu dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Pengerusi PETRONAS Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas. - BERNAMA

 

 

Artikel penuh : Berita Harian