09 Dis 2013

 

RANTAU PANJANG - Kerajaan Persekutuan melalui pelbagai agensinya membelanjakan RM189 juta untuk membina kira-kira 5,000 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Zubir Abdul Ghani berkata peruntukan tersebut melibatkan pembinaan projek perumahan rakyat di bawah pelbagai agensi seperti Giatmara, Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

"Daripada jumlah tersebut, 20 unit rumah dibina di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang melibatkan kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar, di Kampung Lubuk Setol, di sini, hari ini.

Katanya pembinaan rumah tersebut juga akan ditingkatkan kepada 30 unit  dengan nilai RM1.2 juta pada tahun depan melalui program NBOS untuk membantu mangsa kebakaran di negara ini.

"Peruntukan diberikan setiap tahun untuk membina rumah baharu bagi mangsa kebakaran tetapi kita tidak mampu untuk menggantikannya secara keseluruhan," katanya.

Sementara itu, seorang daripada penerima kunci rumah berkenaan, Abdul Hasan Che Harun, 26 berkata pembinaan semula rumah bagi menggantikan rumahnya yang terbakar dalam kebakaran pada tahun lepas, sangat bermakna buat keluarganya.

"Saya amat berterima kasih kepada kementerian serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan atas bantuan yang diberikan ini," katanya yang mengalami kerugian kira-kira RM30,000 dalam kebakaran rumahnya pada 22 November 2012.

Projek pembinaan semula rumah berkenaan dimulakan pada Sept lepas dan siap sepenuhnya pada 12 November lalu.

Ia dibina sepenuhnya oleh 10 anggota bomba dari balai Bomba dan Penyelamat berhampiran. - Bernama

 

 

Artikel penuh : Sinar Harian