20 Mac 2017

FW518089_PTJ21_180317_NEGARAKU-scr_0.jpg

Menerusi penulisan bertajuk ‘Malaysia di Mata Dunia’ di laman najibrazak.com, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa Malaysia telah mencatat banyak kemajuan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sehingga menerima laporan-laporan memberangsangkan daripada media tempatan dan antarabangsa.

Antara berita positif yang disebarkan dan menjadi tajuk utama di banyak akhbar adalah penamaan Malaysia sebagai antara 10 ekonomi paling pesat berkembang di dunia seperti yang dilaporkan oleh The Economist.

“PriceWaterhouse Coopers pula melaporkan Malaysia Dijangka Peroleh KDNK ke-25 Terbesar Dunia Menjelang 2030 manakala International Living Magazine melaporkan Khidmat Kesihatan Malaysia ke-3 Terbaik Dunia.”

Najib berkata U.S News & World Report turut melaporkan tajuk Malaysia negara terbaik untuk pelaburan 2017.

“Alhamdulillah, tiga bulan sejak kita memasuki tahun baru 2017, Malaysia telah melangkah maju tapak demi tapak dalam setiap sudut pembangunan negara.

“Sepanjang tempoh itu juga banyak berita baik dan positif mengenai Malaysia yang telah dipaparkan di halaman surat khabar dan majalah, baik tempatan mahupun luar negara,” katanya.

Tetapi malangnya, beliau berkata ada dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya pihak pembangkang yang memilih untuk tidak nampak atau buat-buat tidak nampak semua berita baik itu hanya kerana ia bertentangan dengan naratif mereka bahawa Malaysia adalah negara yang gagal.

“Ini bukan sahaja menunjukkan betapa pembangkang memandang rendah akan keupayaan negara dan rakyatnya, tetapi juga menunjukkan rendahnya jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia. Di manakah rasa cintamu kepada Negaraku?,” katanya.

Najib berkata kesemua itu menunjukkan bahawa keadaan Malaysia, sama ada dari kaca mata tempatan atau juga kaca mata antarabangsa, tidaklah seburuk yang dicanangkan oleh pembangkang.