19 Mei 2017

chong.PNG

 

Penduduk di kawasan Parlimen Seremban diminta terus menyokong calon Barisan Nasional (BN) demi kelestarian pembangunan dan kebajikan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon berkata di bawah pembangkang, tiada perubahan yang dilakukan demi kebajikan rakyat.

Justeru, untuk mengubah keadaan itu, mentaliti hanya mengundi calon dan bukannya parti harus diketepikan.

"Tak kira siapa pun calonnya, apa yang kita nak adalah parti kita BN menang. Jika ini dapat dibuat, maka saya yakin kita boleh tawan Parlimen Seremban daripada pembangkang. Kita kena kerja keras kerana masa tidak lagi tunggu kita, dan kita tidak boleh tunggu sehingga sampai pembubaran (Parlimen)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika perjumpaan bersama pengundi di kawasan itu.  Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan Datuk David Chong, Pengerusi My PPP Negeri Sembilan Suhul Hammed Shaik Mohaideen dan Ketua MCA Seremban Siow Koi Voon turut hadir di dalam program berkenaan. 

Chong yang juga Timbalan Menteri Pendidikan dalam pada itu turut menyeru seluruh anggota parti termasuk komponen terus memperkukuhkan perpaduan dan berjalan sederap agar hasrat untuk merampas kembali kerusi Seremban dapat direalisasikan.

Pada PRU13, Parlimen Seremban menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon BN Yeow Chai Thiam, Loke Siew Fook (DAP), dua calon bebas dan seorang calon Berjasa.

Pada pilihan raya itu, Loke menang dengan majoriti 12,553 undi.