11 Oktober 2017

 Screen Shot 2017-10-11 at 10.58.28 AM.png

 

Sebanyak 57,282 orang yang kehilangan pekerjaan dijangka layak mendapat bayaran interim Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) pada tahun 2018 membabitkan dana berjumlah RM122 juta, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Bagi tahun sama, kutipan dana SIP dianggar berjumlah RM479 juta.

Beliau berkata SIP, sebuah jaringan keselamatan sosial bermatlamat membantu pekerja yang kehilangan pendapatan disebabkan hilang pekerjaan, dijangka dibentangkan di Parlimen pada 24 Okt.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika mengumumkan skim itu pada Mac lepas, berkata ia akan memanfaatkan kira-kira 6.5 pekerja tempatan dalam sektor swasta.

Riot berkata pemegang taruh bersetuju bahawa kadar caruman bagi skim berpaksikan rakyat itu dikurangkan kepada 0.2 peratus daripada 0.5 peratus, yang akan dicarum sama rata oleh majikan dan pekerja, katanya.

"Ini adalah kadar caruman terendah di dunia. Kabinet telah mempersetujui keputusan ini pada 17 Ogos dan mengarahkan supaya Rang Undang-undang SIP dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini," katanya dalam taklimat khas kepada Ketua Pengarang media berkaitan perkembangan terkini SIP.

Riot berkata objektif SIP, yang akan diuruskan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), adalah untuk menyediakan bantuan kewangan segera (tujuh hari selepas disahkan hilang pekerjaan) bagi membolehkan mereka yang kehilangan pekerjaan meneruskan kehidupan harian sehinggalah mereka mendapat pekerjaan baharu yang bersesuaian.

Bagaimanapun, di bawah SIP, pekerja yang meninggalkan pekerjaan mereka secara sukarela, bekerja berdasarkan kontrak terma tetap, bersara atau dibuang kerja kerana salah laku, tidak layak untuk menuntut faedah daripada SIP.

Riot berkata SIP, yang didasarkan kepada konsep dana solidariti, penyatuan sumber dan perkongsian risiko, akan turut menyediakan perkhidmatan carian kerja, kaunseling kerjaya, padanan pekerjaan dan penempatan pekerjaan kepada pencarum yang kehilangan pekerjaan untuk mendapat semula kerja di samping memberi latihan vokasional, 'reskilling' dan 'upskilling' untuk meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan.

"Kerajaan percaya SIP akan memainkan peranan penting sebagai penstabil ekonomi dan memberi kesan positif dalam mengekalkan aktiviti ekonomi secara mampan, sekiranya berlaku kelembapan atau kegawatan ekonomi.

"Pelaksanaan SIP akan turut meningkatkan kecekapan pasaran buruh menerusi mekanisme penawaran dan permintaan tenaga buruh yang lebih efisien dan berkesan, seterusnya meningkatkan produktiviti dan daya saing industri, jelas beliau.

Riot menegaskan bahawa SIP telah pun dilaksanakan di lebih 75 negara termasuk semua negara maju dan negara jiran seperti Vietnam, Thailand, Taiwan, Korea Selatan, China dan Jepun.

Beliau berkata hampir kesemua negara yang memperkenalkan SIP ketika keadaan ekonomi negara mereka stabil telah membuktikan bahawa skim itu memberi kesan yang positif kepada pekerja yang terjejas semasa kegawatan ekonomi.

"Oleh yang demikian, inilah masa yang tepat untuk Malaysia melaksanakan SIP, yang merupakan sebuah jaringan keselamatan sosial yang penting bagi golongan pekerja yang merupakan aset utama negara," tegas beliau.