11 September 2017

 FW626761_KL19_100917_MATIC-scr.JPG

 

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menggunakan platform media sosial dalam usaha memperkenalkan kepelbagaian budaya dan keunikan di negara ini melalui Kempen Media Sosial terbaharu, #SayangMalaysia.

Pegawai Petunjuk Prestasi Utama merangkap Ketua Sekretariat Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kementerian, Kartini Karim berkata kempen tersebut yang telah diperkenalkan sejak Mac lepas merupakan salah satu usaha menyokong Kempen Melawat Malaysia.

"Kempen Media Sosial #SayangMalaysia ini telah menarik kehadiran ramai pelancong asing ke negara ini termasuklah penulis blog bebas dari pelbagai negara yang ingin membuat ulasan mengenai tempat menarik dan bersejarah, makanan, kebudayaan dan kepelbagaian kaum di negara ini,"katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama pengamal media pelancongan dan kebudayaan seluruh negara di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) semalam.

Kartini berkata ulasan berkenaan yang disebarkan di media sosial pengamal media masing-masing, secara tidak langsung telah memperkenalkan Malaysia ke seluruh dunia.

Sementara itu katanya, majlis makan malam yang menyajikan pelbagai persembahan kebudayaan dan keunikan dari warga kementerian pada malam ini memberi pengalaman tersendiri kepada pengamal media asing berkenaan dan dapat disebarluaskan kepada rakyat negara mereka melalui media sosial.

Persembahan itu katanya, tersebut turut diadakan pada setiap malam di MaTiC dan orang ramai serta pelancong asing dijemput untuk menyaksikan sendiri pelbagai tarian kebudayaan.

Antara penulis blog pelancongan asing yang hadir termasuk dari negara Indonesia, Korea Selatan dan England.