12 Januari 2018

 Azam Baki.JPG

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga hari ini telah merekodkan keterangan 12 saksi berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang yang di dalam proses siasatan.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki, keterangan sudah direkodkan dari pegawai-pegawai Pejabat Kewangan Negeri, Pejabat Perancangan Ekonomi Negeri, Pejabat Jabatan Kerja Raya, Pejabat Tanah dan Galian dan pengarah urusan sebuah syarikat, termasuk kunjungan kepada beberapa pejabat di Komtar dan pengambilan dokumen tambahan berhubung projek berkenaan.

 “Bukan semua tempat kita buat serbuan.

“Pejabat kerajaan di Komtar kita pergi melawat dan ambil dokumen, bukan serbuan.

“Tapi ada beberapa premis syarikat dan pemilik rumah yang ini betul kita ada buat serbuan.

“Keseluruhan semua tempat yang dilawat dan dibuat serbuan pada hari ini ada 12 lokasi.”

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam mencetus pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi, kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaan yang dibayangi bantahan penduduk, yang rata-rata bimbang akan impak projek berkenaan terhadap ekonomi, sosial dan alam sekitar.