13 Ogo 2017

FW609597_JB11_120817_TPM_UMNO_PAGOH-scr.jpg

 

Kepentingan perjuangan parti mengatasi individu seperti yang diamalkan oleh Umno Bahagian Pagoh harus dicontohi oleh seluruh kepimpinan negara

Berucap di hadapan perwakilan Umno Bahagian Pagoh, Timbalan Perdana Menteri yang juga naib Presiden Umno, Datuk Si Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata Politik matang seperti yang diamalkan UMNO Bahagian Pagoh mementingkan jemaah dan perjuangan parti walaupun terpaksa berdepan dengan keadaan yang amat sukar sebelum ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, keputusan yang diambil itu sangat berisiko dan bukan mudah kerana bekas Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri datang dari bahagian berkenaan.

“Saya faham keadaannya terlalu sukar (untuk UMNO Pagoh membuat keputusan terus bersama-sama pucuk pimpinan UMNO). Saya faham rasa terima kasih (terhadap jasa dan sumbangan Tan Sri Muhyiddin Yassin) masih ada dalam minda, itu hakikat dan memang budaya Melayu mengenang budi.

“Takkanlah habis madu sepah dibuang. Hakikatnya antara individu dan organisasi, kita utamakan organisasi dan jemaah,” katanya 

Ahmad Zahid berkata, sifat taksub tidak perlu ada kepada pemimpin tetapi seharusnya kepada UMNO kerana pemimpin datang dan pergi sedangkan parti terus kekal dan menjadi keutamaan.

Beliau kagum dengan Ismail yang berjaya menerajui bahagian tersebut mengharungi segala ujian sebelum ini dan mengharapkannya tidak gentar dengan segala cabaran yang akan datang.

Timbalan Perdana Menteri mahukan semangat UMNO Bahagian Pagoh diterjemahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 sekali gus mengekalkan kerusi Parlimen Pagoh milik Barisan Nasional (BN).

“Kita mahu dalam tempoh enam bulan ini kerja keras, UMNO Johor harus melihat kita tidak punya waktu, kita kena siap sedia sekarang, kita tidak harus lagi layani perkara titik-bengit ini.

“Kita tidak harus ada dalam kepompong yang sempit, segala permasalahan mesti diketepikan, kita tidak boleh berpecah, hanya ada satu matlamat kemenangan iaitu di peringkat negeri dan Pusat,” katanya.