20 Mac 2017

utusan ppr.jpg

 

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan harga RM35,000 bagi setiap unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Aman, di Jinjang Utara, Kepong di sini kepada 850 penghuni Rumah Panjang Jinjang Utara.

Timbalan Pengarah Jabatan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Mohammad Muzammer Jamaluddin berkata penghuni yang berminat untuk membeli unit itu perlu menepati syarat kelayakan yang ditetapkan termasuklah telah berkahwin dan warganegara Malaysia.

Antara syarat lain adalah penghuni rumah panjang terbabit tidak pernah mempunyai kediaman sendiri dan jumlah pendapatan suami isteri tidak melebihi RM5,000 sebulan.

"Tawaran sebanyak 1,000 unit kediaman di PPR ini memberi keutamaan kepada penduduk setempat di kawasan ini dan sekiranya mereka tidak mahu membeli unit tersebut, mereka boleh menyewa di mana-mana PPR yang berdekatan.

"Seramai 850 penghuni rumah panjang itu ditawarkan terus untuk membeli unit tersebut dan berdasarkan bancian menerusi penduduk rumah panjang itu pada tahun lepas, 99 peratus penduduk berminat untuk membelinya (unit PPR).

"Penyerahan kunci unit kediaman bagi fasa pertama dijangka akan dilakukan pada pertengahan bulan depan," katanya kepada pemberita selepas majlis sesi Taklimat Penjualan Rumah PPR Seri Aman di sini, hari ini.

Mohammad Muzammer berkata terdapat empat kaedah pembayaran boleh dilakukan iaitu melalui bayaran tunai, pengeluaran Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), skim pembiayaan menerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan pembiayaan menerusi bank atau institusi kewangan.

Sementara itu, Pengurus Besar Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan, Mohd Fadzil Ab Hamid berkata YWP menawarkan pembiayaan 100 peratus dengan pembayaran balik sebanyak RM260 sebulan selama 20 tahun kepada pembeli yang layak.

"Antara syarat kelayakan bagi skim YWP ialah tidak muflis dan tidak pernah mendapat mana-mana bantuan daripada badan kebajikan," katanya. Melalui penjanjian memorandum persefahaman (MoU) pada 2 Mac lalu, DBKL menerima 1,000 unit rumah PPR Seri Aman daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menempatkan penghuni rumah panjang di Jinjang Utara.

Inisiatif PPR seluas 3.97 hektar yang dibina dengan kos RM215.9 juta siap pada Disember 2015.

Secara keseluruhannya terdapat 1,600 unit rumah di PPR itu, dengan baki 600 unit lagi akan diuruskan oleh KPKT.