21 Apr 2017

FW525323_PH08_200417_NAJIB-scr.jpg

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan bantuan bulanan peruntukan Persekutuan berjumlah RM10.2 juta kepada 2,795 penerima yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dari sekitar bandar Temerloh semalam. 

Pada majlis yang berlangsung di Masjid Baharu Daerah Temerloh, penerima terdiri daripada 1,229 warga emas, kanak-kanak (608), pekerja cacat anggota (508) dan orang kurang upaya (OKU) (447).

Najib yang turut menunaikan solat Zuhur berjemaah dengan lebih 500 penduduk di masjid itu, juga menyampaikan elaun sara hidup berjumlah RM252,000 kepada 105 nelayan darat daerah ini serta sumbangan berjumlah RM14,700 kepada 49 mangsa ribut di Taman Murni, Lanchang, dekat sini pada Jumaat lalu.

Perdana menteri turut menyampaikan bantuan berbentuk barangan kepada 300 anggota Persatuan Pesara Kerajaan, Persatuan Pesara Polis, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) yang diserahkan kepada wakil setiap persatuan.FW525325_PH10_200417_NAJIB-scr.jpg

Dalam pada itu, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut meluangkan masa menziarahi dua keluarga yang menjadi mangsa banjir besar di daerah ini pada 2014.

Datuk Seri Najib bersama isteri Datin Seri Rosmah singgah di rumah warga emas Sara Sida,89, dalam Program Jom Bantu Rakyat Parlimen Temerloh

Sementara itu, penerima bantuan, Hasmah Ibrahim, 74, jelas amat terharu dengan kesudian perdana menteri dan isterinya untuk bertanya khabar tentang keadaan keluarganya, yang menurutnya mencerminkan ketokohan Najib sebagai pemimpin yang prihatin dengan nasib rakyat walaupun mempunyai lebih banyak tugasan penting yang lain.

"Rasa terharu dan gembira...tak sangka perdana menteri dan isteri sanggup turun padang melawat rumah kami dan melihat sendiri proses membaik pulih rumah ini," katanya kepada Bernama.

Hasmah yang juga ibu tunggal dan tinggal bersama tiga anak dan seorang cucu berkata, semasa banjir tiga tahun lepas, rumahnya ditenggelami air hampir dua minggu menyebabkan mereka sekeluara terpaksa berpindah ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah.

Air banjir yang bertakung lama itu mengakibatkan kesemua barangan di dalam rumah rosak dan lantai rumah di ruang tamu hingga ke dapur mereput akibat, namun masih belum dibaiki kerana kekangan kewangan, katanya.

"Sejak banjir lepas kami terpaksa jalan berhati-hati bagi mengelak terpijak lantai reput terutama pada waktu malam.

"Alhamdulillah kehadiran perdana menteri hari ini membawa khabar gembira menerusi Program Jom Bantu Rakyat, katanya.

Menerusi program itu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan agensi lain berganding bahu membaik pulih rumah Hasmah, malah Najib dan Rosmah sendiri turut membantu mengecat rumah wanita itu.

Seorang lagi mangsa banjir A. Ghani A. Rahman, 79, dan isteri Semah Mat Satin, 68, dari Kampung Baru Padang Kerbau turut berkongsi perasan gembira dengan kunjungan perdana menteri dan isteri.

"Pada 2014 memang banjir teruk di sini dan air memasuki rumah hingga ke paras bumbung, jadi semua barang dalam rumah dihanyutkan air banjir dan rosak. Hasil bantuan daripada perdana menteri rumah kami kini dilengkapi dengan sofa, kipas angin serta almari pakaian dan rak pinggan mangkuk.

"Selain itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat juga sedang buat tandas baharu di rumah kami untuk keselesaan kami sekeluarga. Saya sangat berterima kasih kepada perdana menteri kita," katanya.