13 Ogo 2017

 

FW609496_KB07_120817_PM_LAWATAN_BN201708102458-scr.jpg

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam merasmikan bangunan tambahan Hospital Jeli, membabitkan kos sebanyak RM57 juta.

Menerusi bangunan tambahan yang mula beroperasi pada Februari tahun lalu itu, ia mampu memuatkan 56 lagi katil, berbanding sebelum ini hanya mempunyai 24 katil.

Justeru, rakyat di sekitar daerah berkenaan dapat menikmati kemudahan rawatan kesihatan yang lebih selesa dan berkualiti.

Perdana Menteri berkata, pembinaan bangunan tambahan hospital itu menunjukkan kerajaan cakna kepada rakyatnya.

Katanya, kerajaan mahu rakyat menikmati status kesihatan dan kualiti hidup yang tinggi dan peruntukan besar diberikan kepada sektor kesihatan setiap tahun.

"Setiap tahun, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan perbelanjaan besar bagi menampung subsidi perubatan untuk membantu rakyat. Bayangkan, sekiranya mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, rakyat hanya perlu membayar RM1 saja bagi mendapatkan rawatan khidmat pesakit luar, berbanding di klinik swasta melebihi RM30.

"Setiap tahun kerajaan membelanjakan sebanyak RM22 bilion, namun hanya mengutip sebanyak RM700 juta. Bayangkan berapa banyak subsidi yang kita tanggung," katanya ketika berucap pada majlis perasmian bangunan tambahan dan Pemimpin Bersama Rakyat semalam.

Dalam pada itu, di acara berlainan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan peruntukan lebih RM8.5 juta untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan untuk rakyat di kawasan Parlimen Machang.

Beliau berkata peruntukan tersebut melibatkan pembinaan jalan perhubungan desa sebanyak RM5 juta diikuti projek ameniti sosial (RM2 juta) dan projek khas untuk membina musalla (surau) dan sebagainya (RM1.53 juta).

Projek lain ialah Projek Perumahan Rakyat Miskin sebanyak 100 buah, baik pulih rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebanyak 100 buah dan jalan-jalan kampung sekitar Parlimen Machang, katanya ketika berucap pada Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Machang semalam. 

Terdahulu semasa berucap pada majlis tersebut, Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub memohon kepada perdana menteri supaya meluluskan beberapa projek pembangunan untuk rakyat di kawasan Parlimen berkenaan.

Bagaimanapun perdana menteri berkata bagi projek PPR tambahan yang dimohon oleh Ahmad Jazlan, ia boleh diluluskan sekiranya kawasan Parlimen itu terus dimenangi oleh Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Najib percaya dengan semangat dan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat Machang dan Kelantan, negeri ini boleh menjadi milik BN pada PRU-14.

Sebanyak 418 unit rumah PPR Parlimen Machang yang melibatkan kos RM75 juta sedang dibina di Kampung Batu 25 di sini dan dijangka siap pada awal 2019.