21 Apr 2017

FW521776_PR03_110417_DUN_PERLIS_(1)-scr.JPG

 

Golongan belia perlu terus berusaha memajukan diri dengan tidak melepaskan peluang memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) walaupun pernah gagal sebelum ini, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata tiada alasan yang harus menjadi penghalang untuk belia menuntut ilmu dengan kerajaan menyediakan pelbagai bantuan untuk mereka yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian.

"Kegagalan terdahulu bukan bermakna kita tidak boleh maju, walaupun terlewat berbanding rakan-rakan lain yang seusia tetapi ia bukan alasan untuk kita tidak boleh bermula serta menamatkan pengajian dengan berjaya.

"Bantuan kewangan daripada kerajaan negeri juga ada diperuntukkan khususnya ketika permulaan pengajian selain boleh dapatkan bantuan daripada Baitulmal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) semalam. 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Induk program berkenaan Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Lebih 600 belia di negeri ini telah memanfaatkan peluang menerusi program itu untuk memohon memasuki IPT pilihan mereka sesuai dengan kelayakan dan bidang pengkhususan yang dipilih.

Sementara itu, Sahol Hamid berkata setakat ini lebih 40,000 permohonan telah diterima menerusi 33 siri jelajah berkenaan dan sasaran 50,000 atau lebih pemohon seluruh negara hampir tercapai.

"Beberapa buah bank yang terlibat termasuk Bank Rakyat turut akan menyediakan bantuan awal pengajian sebanyak RM1,500 kepada mereka yang layak," katanya.