11 September 2017

  CRM_MCA

 

Sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada setiap peniaga antara bantuan awal yang disumbangkan MCA melalui Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) kepada setiap peniaga yang terjejas selepas premis perniagaan mereka di Pasar Besar Seremban, hangus dijilat api dalam kebakaran baru-baru ini. 

Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon berkata bantuan itu akan diberikan kepada kira-kira 327 pemilik premis di tingkat satu pasar berkenaan yang terjejas.

"Sementara kita menunggu pelan tindakan terperinci, saya bagi pihak MCA telah mengumumkan beberapa langkah bantuan kecemasan iaitu setiap pengusaha gerai yang terjejas akan menerima RM1,000 dari CRSM MCA untuk menghadapi saat kecemasan ini.

Seterusnya tempat letak kereta pasar ini akan dijadikan sebagai tapak perniagaan sementara bagi membolehkan peniaga yang terjejas yang mahu meneruskan perniagaan mereka, untuk terus berniaga," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke pasar berkenaan di sini, Ahad.

Katanya selain itu, Majlis Perbandaran Seremban juga akan menyediakan penjana elektrik sementara di perkarangan pasar susulan arahan pihak Tenaga Nasional Berhad dan pihak bomba supaya bekalan elektrik utama perlu ditutup sementara kerja penyiasatan forensik dilakukan

"Bagi memudahkan para peniaga dan melancarkan urusan perniagaan mereka, kita juga tempatkan tandas bergerak telah disediakan untuk kegunaan semua," katanya.

Mengulas lanjut, Chong berkata tindakan seterusnya akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS) Datuk Abd Halim Abd Latif untuk merancang tindakan seterusnya berdasarkan pendapat dan cadangan penjaja yang terlibat.

Chong berkata selain itu, isu yang akan diketengahkan dalam mesyuarat itu juga mengenai premis perniagaan di tingkat bawah yang turut dilaporkan mengalami kerugiaan akibat limpahan air dalam kebakaran itu semalam.