05 Disember 2017

FW644278_JB03_231117_BAJET_2018_JOHOR_BN201711222261-scr.jpg

 

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan rasuah yang didakwa diterimanya seperti terkandung dalam dokumen siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes rasuah dan skandal hartanah membabitkan bekas Exco negeri ini, yang tersebar luas di sebuah blog baru-baru ini.



"Pentadbiran saya tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima apa-apa suapan dan akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk suapan," kata beliau ketika sesi penggulungan pada Persidangan Penggal Kelima DUN Johor ke-13, semalam. 



Mohamed Khaled percaya tuduhan rasuah ke atasnya dibuat secara 'mala fide' (niat jahat) untuk memalukan nama baik secara peribadi dan kepimpinan kerajaan negeri.



Beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai Wong Shu Qi berhubung tindakan mendedahkan dokumen SPRM yang disahkan sebagai dokumen rahsia rasmi kerajaan.



Wong yang ditemui pemberita selepas persidangan DUN berkata beliau bersikap terbuka untuk disiasat oleh mana-mana pihak berkuasa yang berkenaan.



Susulan tindakan blog itu, saksi SPRM tersebut dipercayai membuat laporan polis di sini pada 29 Nov lepas bagi meminta polis menjalankan siasatan terhadap pemilik blog berkenaan.