12 November 2017

FW640527_SB02_121117_DIALOG-scr.JPG

 

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mencuba sehabis mungkin dalam merealisasikan impian pasukan bola sepak negara untuk beraksi di kejohanan Piala Dunia menerusi pembangunan akar umbi tersusun yang sudah dijalankan sejak empat tahun lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata rakyat diminta 'bersabar' untuk melihat hasil daripada program pembangunan berkenaan dan pihaknya tetap optimis impian itu mampu tercapai suatu hari nanti.

Beliau berkata, semua pihak harus memberi peluang terhadap kementeriannya dan barisan kepemimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baru saja mengambil alih pentadbiran badan induk bola sepak negara itu, Mac lalu.

"Ini akan mengambil sedikit masa kerana sistem pembangunan akar umbi tersusun yang baru sahaja dimulakan empat tahun lalu di bawah program pembangunan bola sepak negara serta kepemimpinan FAM baru sahaja diambil alih pada bulan Mac tahun ini.

"Jadi kita kena sabar dan tunggu generasi yang baru dibangunkan dengan sistem serta pendekatan baharu ini sampai ke peringkat dewasa untuk kita melihat lonjakan dari sudut prestasi Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meluangkan masa hampir dua jam dalam program dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Dewan Tapak Warisan Monsopiad, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Khairy dalam ucapannya di program berkenaan ada menyentuh mengenai aspirasi untuk membawa skuad bola kebangsaan untuk layak ke kejohanan Piala Dunia yang diakui antara misi yang sukar dalam TN50.

"Saya rasa misi ke Piala Dunia paling susah dalam TN50, saya rasa kereta terbang lebih mudah tetapi kita akan cuba yang terbaik.

"Kalau dulu berbanding Jepun kita lebih hebat tetapi sekarang setiap kali Piala Dunia, mereka akan layak (pusingan akhir)," katanya.

Mengulas mengenai Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP), Khairy berkata, pihaknya akan mempertimbangkan perancangan membuka lebih banyak pusat itu di Sabah untuk membangunkan bola sepak di negeri ini.

"Itu matlamat kita, jadi ia akan berlaku secara berkala dan tahun depan saya akan pastikan beberapa pusat itu akan dibuka di Sabah," katanya.