12 Ogos 2017

FW609139_SG04_110817_KPKT_KPMM-scr.jpg

 

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang merancang untuk memperkenalkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi keperluan penduduk golongan M40.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata langkah itu bagi membantu golongan isi rumah berpendapatan pertengahan itu dapat membeli kediaman yang bukan sahaja selesa malah mampu dimiliki.

"Kertas kerja untuk cadangan ini sudah dibuat dan akan dibawa ke pihak kerajaan secepat mungkin," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Perumahan Mampu Milik (KPMM)- Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) 2017 di Shah Alam semalam. 

Katanya, buat masa ini PPR hanya disasarkan kepada golongan B40 (isi rumah berpendapatan rendah) dan kerajaan menyediakan subsidi lebih daripada RM100,000 bagi setiap rumah PPR untuk golongan B40 yang mana mereka hanya perlu membayar RM35,000.

"Bagi PPR untuk golongan M40, kerajaan mungkin tidak menyediakan subsidi sama seperti untuk PPR B40. Kerajaan mungkin timbang memberikan diskaun 10 hingga 20 peratus. Ini kita sedang rancang,"katanya.

Dalam perkembangan lain, Noh meminta Bank Negara supaya tidak mengenakan syarat ketat terhadap peminjam yang ingin memiliki rumah kediaman pertama.

Sementara itu, KPMM-MAPEX 2017 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Shah Alam disertai 30 pemaju berlesen dan 13 agensi kerajaan.

Ekspo itu memberi tumpuan kepada kediaman mampu milik berharga di bawah RM500,000 di bawah satu bumbung bagi membantu orang ramai meninjau pilihan pemilikan rumah yang terdapat di pasaran sekarang, yang bukan sahaja di Lembah Klang dan Selangor tetapi juga di beberapa negeri lain seperti Melaka, Kedah, Perak dan Pulau Pinang.aa