12 September 2017

 istana.PNG

Alunan ayat-ayat suci al-Quran memenuhi ruang legar Istana Anak Bukit di sini, yang menempatkan jenazah Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mangkat pada usia 89 tahun petang semalam.

Sejak awal pagi ini para petugas istana yang lengkap berpakaian serba hitam, sibuk dengan tugas masing-masing bagi memastikan istiadat pemakaman diraja berjalan lancar.

Para petugas media pula dilihat sedang membuat persiapan peralatan dan menentukan kedudukan mereka.

Mengikut jadual Istiadat Bersiram Jenazah bermula pukul 8 pagi dan diikuti istiadat mengkafan dan menabur cendana.

Rakyat jelata diberi peluang memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum bermula 11 pagi hingga 12.30 tengah hari diikuti golongan kenamaan pada 12.30 tengah hari hingga 1.30 tengah hari di ruang bersemayam di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit.

Pengiringan jenazah Almarhum dari Istana Anak Bukit ke Makam Diraja Langgar dijadual bermula 2 petang dan istiadat dijangka selesai menjelang asar.