19 Mei 2017

FW555248_PTJ16_180517_RAHMAN-scr.jpg

Hubungan dua hala Malaysia dan Singapura kini berada di kemuncaknya di bawah kepimpinan bijaksana dan pendekatan "diplomasi durian" Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata projek-projek terbaharu yang diusahakan kedua-dua negara termasuk Landasan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura dan Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura akan mengukuhkan lagi hubungan bilateral Malaysia dan Singapura.

Beliau menerima kunjungan hormat Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Masagos Zulkifli bagi membincangkan pelbagai isu untuk mengukuhkan hubungan dua hala dua negara itu.

"Mesyuarat kami hari ini melambangkan persaudaraan rapat antara Malaysia dan Singapura. Hubungan ini dihargai oleh pemimpin-pemimpin kedua-dua buah negara selepas beberapa tahun kerja keras di antara kedua-dua kerajaan.

"Hubungan yang rapat ini telah membantu negara kita dalam merancang pelbagai projek infrastruktur dan meningkatkan perdagangan dua hala yang melangkaui jangkauan pemikiran orang ramai," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Abdul Rahman dan Masagor bertemu pada majlis makan tengah hari di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri di sini.

Masagos kini berada di Malaysia untuk menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Menteri Alam Sekitar Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ke-19.

Abdul Rahman berkata kedua-dua pemimpin juga mengakui dan menegaskan mengenai kepentingan integrasi ekonomi dan kerjasama pelbagai hala antara negara-negara ASEAN.

Mengenai Projek Landasan Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, Masagos melahirkan keyakinannya terhadap hasil akhir projek itu.

Beliau turut berkongsi kemajuan terbaharu yang dilaksanakan kerajaan Singapura termasuk pengambilalihan dua padang golf bagi pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi dan stesen, katanya.