12 November 2017

FW640420_KL18_111117_PERSIDANGAN_BN201711111092-scr.jpg

 

Gerakan yakin dapat memenangi lima kerusi parlimen dan 12 kerusi dewan undangan negeri termasuk di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Presidennya Datuk Seri Dr Mah Siew Keong berkata parti itu juga memutuskan untuk bertanding di semua 45 kerusi tradisi yang diperuntukkan kepada mereka di bawah Barisan Nasional menerusi konsesus perkongsian kuasa.

Beliau berkata parti itu juga sedang berunding dengan parti komponen lain mengenai kemungkinan bertukar kerusi yang membabitkan lima kawasan atau mendapatkan kerusi tambahan.

"Kira-kira 60 peratus calon merupakan muka baharu dan kebanyakan mereka adalah orang muda. Kami yakin akan mencatat prestasi lebih baik berbanding sebelum ini," katanya dalam sidang media selepas berakhirnya Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-46 di Menara PGRM, petang ini. 

Mah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, berkata beliau telah menyerahkan senarai calon berpotensi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN.

Antaranya ialah Ketua Wanita Datuk Tan Lian Hoe, Ketua Pemuda Tan Keng Liang serta timbalan masing-masing.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding di Pulau Pinang, Mah yang merupakan Anggota Parlimen Teluk Intan, berkata beliau serahkan perkara itu kepada parti.

Sebanyak 22 resolusi diluluskan oleh 1,778 perwakilan yang menghadiri persidangan tahun ini.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut membayangkan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan diadakan tahun depan, yang secara rasminya menamatkan spekulasi bahawa ia akan diadakan tahun ini.

Ketika memberikan bayangan mengenai perkara itu semasa merasmikan Persidangan ke-46 Perwakilan Nasional Gerakan di Menara PGRM , Ahmad Zahid mahu anggota parti itu supaya mempersiapkan jentera pilihan raya mereka bagi menghadapi pilihan raya.

"Kita berusaha dengan sebaik-baiknya dan saya yakin dalam PRU14 pada tahun hadapan, jika bekerja kuat, kita memperkasa jentera pilihan raya untuk memberi kemenangan kepada BN di seluruh negara," katanya.

Katanya walaupun tarikh masih belum diberikan, PRU14 akan diadakan dalam tempoh 180 hari akan datang dan setiap anggota parti perlu bersiap siaga untuk menghadapinya.

"Sesiapa yang mengatakan bahawa pilihan raya akan diadakan melebihi 180 hari, mereka sudah sudah tidak lagi berhubung dengan realiti," katanya.

Sebelum ini, pilihan raya diramalkan akan diadakan menjelang akhir tahun ini, namun pemerhati politik meramalkan ia akan diadakan pada Mac atau April tahun depan, selepas perayaan Tahun Baharu Cina.