13 September 2017

 MIC_subra

 

Sejumlah dua bilion unit saham amanah akan disediakan kepada masyarakat India dalam tempoh lima tahun bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Unit amanah berkenaan yang akan ditawarkan Permodalan Nasional Bhd (PNB), adalah antara agenda yang dirumus di bawah Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB).

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata MIB dilaksanakan oleh Unit Khas Program Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (SEDIC).

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata, program itu akan memberi keutamaan kepada masyarakat India yang tergolong dalam kumpulan B40 yang mana subsidi akan turut diberikan bagi pembelian unit saham.

"Secara prinsipnya, PNB sudah bersetuju dan kini kita sedang berbincang dengan lebih teliti sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk kelulusan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan Komuniti Pelan Tindakan Masyarakat India semalam

Subramaniam berkata, program itu dijangka memberi manfaat kepada 100,000 isi rumah.

"Setiap tahun kita menjangkakan lebih kurang 20,000 isi rumah akan menerima manfaat menerusi program itu.

"Diharapkan program ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada Pembentangan Bajet 2018," katanya.