12 November 2017

FW640547_PHL13_121117_ASEAN-scr.jpg

 

Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan Sidang Kemuncak berkaitan dengan rakan dialog.

Abe tiba di hotel penginapan Najib di bandaraya Manila pada kira-kira jam 5.20 petang waktu tempatan dan terus menuju ke bilik mesyuarat. Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kedua-dua mereka dijangka membincangkan pelbagai isu dua hala untuk kepentingan bersama. Najib dan Abe juga akan menghadiri Sidang Kemuncak ke-20 ASEAN-Jepun, Selasa ini. Tahun ini genap 60 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun.

Jepun adalah juga pelabur asing terbesar di Malaysia. Ketika melawat Jepun November lalu, Abe, merujuk rakan sejawatannya dari Malaysia itu sebagai "sahabat akrab" manakala Najib menyifatkan Abe sebagai "rakan baik saya" ketika mengadakan sidang media bersama.

Malah, ada konsortium dianggotai syarikat Jepun berminat untuk merebut tender projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan bersedia melakukan pemindahan teknologi berkaitan ke Malaysia.

Projek HSR antara Malaysia-Singapura yang bermula dari Kuala Lumpur dan berakhir di Jurong East, Singapura itu dijangka siap pada 2026 membabitkan landasan sepanjang 350 kilometer (km) serta mempunyai lima transit iaitu Seremban (Negeri Sembilan), Ayer Keroh (Melaka) selain Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri di Johor.

Dalam konteks Asia Tenggara, Jepun adalah rakan dialog penting ASEAN. Tokyo sebelum ini mengulangi komitmen untuk bersama memerangi keganasan dan jenayah rentas sempadan yang mana pemimpin ASEAN menghargai hasrat proaktif Jepun dalam memastikan keamanan dan kestabilan serantau.

ASEAN dan Jepun juga bekerjasama dalam menangani jenayah siber melalui Dialog Jenayah Siber ASEAN-Jepun pada 28 Mei 2014 di Singapura yang edisi keduanya dilangsungkan di Malaysia, Mac lalu.