17 Februari 2017

ZH 777.JPG

Sumbangan kewangan dari Qatar Development Fund (QDF) bertujuan untuk membantu etnik Rohingya di Malaysia akan diselaras oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Perdana Menteri, beberapa kementerian, agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO), seperti diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad Zahid, dana QDF yang diumumkan kerajaan Qatar semasa lawatan beliau ke negara tersebut, adalah bertujuan untuk membantu di dalam urusan kebajikan 56, 135 etnik Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Dana ini adalah bagi melaksanakan tiga aspek utama untuk etnik Rohingya yang memegang kad UNHCR di Malaysia iaitu latihan, pendidikan dan kesihatan yang pastinya dapat memberi kesan positif dalam jangka panjang.”

Dalam pada itu katanya, selain kementeriannya, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan juga akan bertanggungjawab menjayakan Projek Perintis Kebenaran Bekerja kepada 300 etnik Rohingya pemegang kad UNHCR di Malaysia yang akan bermula 1 Mac ini.

"Perincian bagi program-program latihan separa mahir dan mahir, pendidikan untuk anak-anak Rohingya serta skim insurans kesihatan akan dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama beberapa NGO berkaitan," ujar Ahmad Zahid.