12 Oktober 2017

 FW633777_KL65_111017_MIC-scr.JPG

 

Pemuda MIC Kebangsaan berharap lebih banyak peluang dan geran perniagaan diberikan kepada belia India melalui Bajet 2018 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Okt ini.

Ketua Pemudanya Datuk C Sivaarrajh berkata ia bertujuan memperkasakan ekonomi belia melalui penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan.

"Selain itu, ia juga dapat mengurangkan beban sara hidup kerana ekonomi merupakan cabaran terbesar kini," katanya kepada Bernama selepas majlis makan malam Deepavali bersama media anjuran Pemuda MIC Kebangsaan di Bangunan MIC, di sini malam tadi.

Beliau berkata adalah menjadi harapan sekiranya pengumuman oleh perdana menteri kelak menjadi sumber pemerkasaan ekonomi belia India dan ia dipercayai dapat mengembalikan sokongan mereka kepada kepimpinannya.

Katanya Najib merupakan perdana menteri yang sering membantu masyarakat India secara langsung melalui pembangunan sekolah jenis kebangsaan Tamil dan peruntukan dana perniagaan.

"Komitmen itu dapat dilihat melalui penyaluran peruntukan hampir RM900 juta kepada sekolah Tamil dan meluluskan peruntukan lebih RM1.2 bilion untuk masyarakat India berniaga," katanya.

Majlis makan malam itu dihadiri pengamal media tempatan dan anggota Pemuda MIC dari pelbagai cawangan seluruh negara.