10 November 2017
FW639886_KL32_091117_AGONG_BN201711070691-scr.jpg
 
 
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan menyerahkan kunci rumah kepada 12 penerima unit percuma Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Desa Rajang, Kuala Lumpur semalam. 
 
Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa dan beramah mesra dengan para penerima terbabit di PPR Desa Rejang selain melawat dua rumah berkenaan.
 
Baginda berpeluang melihat rumah asal yang dahulunya disewa oleh penerima serta rumah baharu yang diberikan percuma kepada penerima yang sama di bawah Program Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan.
 
Program itu merupakan inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bagi bertujuan membantu golongan miskin tegar antaranya terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) dan penghidap penyakit kronik untuk memiliki rumah sendiri tanpa perlu membayar sewa bulanan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
 
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kementeriannya menyasarkan pemberian sebanyak 200 unit PA dan PPR secara percuma yang dianggarkan bernilai RM65,000 hingga RM70,000 seunit kepada penerima yang layak pada tahun ini.
 
Menurut Tengku Adnan, anggaran kos tersebut antaranya merangkumi kos rumah, kos baik pulih, barangan elektrik serta kelengkapan asas kediaman.
 
"Hak milik rumah di bawah program ini akan dipindahkan kepada penerima terpilih dalam kalangan penyewa PA dan PPR sedia ada tanpa sebarang bayaran dengan syarat ia tidak boleh dijual melainkan diwariskan kepada ahli keluarga atau waris terdekat.
 
"Program ini adalah satu jalan penyelesaian dalam membantu dan menangani kemiskinan bandar di Kuala Lumpur kerana kita tidak mahu golongan ini terpinggir dalam arus deras pembangunan dan pemodenan bandar," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
 
Katanya, program Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan yang dimulakan sejak bulan Ramadan lepas itu melibatkan peruntukan dana sepenuhnya daripada Yayasan Wilayah Persekutuan, Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan, syarikat-syarikat swasta dan badan-badan bukan kerajaan.