Aduan Rakyat

Hantar Aduan kepada kami.

Kenali Kami

Mengetahui lebih lanjut mengenai Barisan Nasional.

Fakta

Pelbagai informasi terkini.

Sukarelawan

Sertai perjuangan Barisan Nasional.

Cenderahati

Barangan Barisan Nasional

 

632 unit PPR jadi rumah transit mulai tahun depan
Tarikh: 
18-10-2013

 

PUTRAJAYA - Program Rumah Transit untuk pasangan yang baharu berkahwin dan berpendapatan bawah RM3,000 akan dilaksanakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil bermula tahun hadapan yang melibatkan 632 unit rumah.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam satu kenyataan berkata projek pertama itu merangkumi dua blok yang bertujuan membantu pasangan muda memulakan kehidupan di bandar.   

"Kadar sewa ditetapkan ialah RM250 sebulan dengan setiap pasangan dibenarkan menyewa sehingga dua tahun dan dalam masa yang sama tidak dibenarkan disewa kepada orang lain," katanya.

Beliau berkata unit rumah yang berkeluasan 650 kaki persegi itu akan dilengkapi dengan kipas, lampu, lantai jubin dan kad akses lif.

Tambahnya program tersebut juga akan menambah baik penyelenggaraan dan kemudahan antaranya penyediaan kemudahan sistem kamera litar tertutup, pondok pengawal keselamatan, kawasan berpagar, unit komuniti bomba, unit penjagaan kanak-kanak, surau dan ruang serbaguna.

Abdul Rahman berkata kira-kira 6,000 pemohon telah dikenal pasti layak untuk menjalani penilaian kelulusan menduduki rumah transit tersebut.

Antara syarat layak memohon ialah warganegara Malaysia yang berkahwin dan berusia 30 tahun ke bawah, pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah, tidak memiliki rumah sendiri di Kuala Lumpur, tinggal dan bekerja di Lembah Klang serta tiada rekod jenayah.

Beliau berkata kementeriannya menetapkan sekurang-kurangnya 10 peratus unit di projek PPR baharu diperuntukan untuk Program Rumah Transit khususnya di bandar-bandar besar.

"Selain PPR Pinggiran Bukit Jalil, sebanyak dua lagi lokasi baharu sudah dikenal pasti untuk program Rumah Transit di negara ini iaitu di PPR Kepayan Ridge di Kota Kinabalu, Sabah dan PPR Sentul di Kuala Lumpur," katanya. - Bernama

 

 

Artikel penuh : Sinar Harian