04 Disember 2017

 5 Srikandi.JPG

Situasi ‘abandon ship’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terus meruncing apabila lima pemimpin Srikandi diantaranya seorang Exco kebangsaan sayap wanita parti berkenaan, Zuraini Kamal, umum keluar parti.

Antara yang turut serta mengumumkan pengunduran daripada PPBM adalah Halimaton Saadia Shah Mat (Ketua Srikandi PPBM Bahagian Pendang), Rukiza Abu bakar (Ketua Srikandi PPBM Bahagian Pokok Sena), Sopi Aziz dan Fatimah Ahmad (AJK Srikandi PPBM Bahagian Kuala Kedah).

Berkongsi sebab pengunduran mereka daripada PPBM, Zuraini menggariskan beberapa faktor antaranya perpecahan dalam PPBM, budaya fitnah yang berleluasa dan halangan untuk menegur kepimpinan parti.

Tambahan beliau, terdapat rombakan jawatan parti yang menyaksikan sehingga dua individu dilantik pada kedudukan sama, yang menghakis keyakinan ahli terhadap kepimpinan parti.

“Rombakan jawatan menyebabkan dua individu dilantik atas kedudukan sama. Ia sesuatu tidak sepatutnya berlaku, sekali gus memecah belah keharmonian di peringkat bahagian… belum pernah ada bahagian wujud dua ketua srikandi.

Tambahan beliau, masih terdapat ramai lagi yang bertindak untuk keluar parti namun memilih untuk berdiam diri.

“Setelah berfikir panjang dan berbincang, kami mengambil keputusan untuk melepaskan semua jawatan Exco Srikandi Malaysia, Ketua Srikandi bahagian serta meninggalkan PPBM berkuat kuasa dengan serta-merta.

“Kami dimaklumkan ramai lagi sudah keluar PPBM tetapi berdiam diri,” kata Zuraini sambil mendakwa terlalu banyak isu polemik berlaku dalam PPBM tetapi tidak diuruskan baik dan ditangani secara serius pucuk pimpinan.