20 March 2017

FW518261_PH13_190317_KEYVEAS-scr.jpg

Kira-kira 400 penunggang motosikal beratur panjang di sebuah stesen minyak di Brinchang di sini hari ini untuk mengisi petrol secara percuma sumbangan Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (myPPP) Tan Sri M. Kayveas.

Penunggang motosikal dilihat mula menunggu giliran seawal 2 petang sebelum Penasihat Khas kepada Menteri Pengangkutan itu mengisi petrol ke tangki motosikal para penunggang selama dua jam dan tamat pada 4 petang.

Seorang pekerja swasta Mohd Ali Zulkifli, 35, berkata sumbangan itu dapat mengurangkan sedikit kos bahan bakarnya. "Pada pendapat saya, sumbangan sebegini perlu diteruskan berikutan keadaan ekonomi hidup sekarang yang tidak menentu dan ia memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah seperti saya," katanya ketika ditemui Bernama.

Naslinda Shariff, 29, pula berkata program seumpama itu diharap dapat diadakan setiap bulan kerana ia amat membantu meringankan beban rakyat.

Dalam pada itu, Kayveas berkata program Isi Minyak Motor Percuma kali pertama itu bertujuan membantu penunggang motosikal terutama yang berpendapatan rendah.

"Kita memahami orang yang memakai motosikal ramai yang kurang berkemampuan dan kerajaan sedia ada ini prihatin terhadap nasib rakyat," katanya dan menambah program tersebut akan diperluaskan di kawasan lain sekitar tanah tinggi itu.