12 November 2017

mantap.jpeg

 

Tindakan pantas Kerajaan Persekutuan dibantu agensi berkaitan dalam misi bantuan kemanusiaan dan perubatan sewaktu banjir di Pulau Pinang ketika ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela kebajikan rakyat.

Tanpa mengira latar belakang politik, pelbagai bantuan kemanusiaan dan perubatan diagihkan ke segenap kawasan terjejas, membabitkan usahasama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Biro Kebajikan UMNO (BIKUM) dan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).

Jurucakap Mahasiswa Turun Parlimen (MANTAP) Sesi 7 dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, usaha itu bukti budaya politik matang yang diamalkan kerajaan terutama apabila membabitkan soal kemanusiaan.

Katanya, misi kemanusiaan dijalankan tidak kira ketika bah atau pasca banjir bukti keprihatinan kerajaan yang sama sekali tidak mengambil kira latar belakang politik bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa.

“Kerajaan sebelum ini sudah menyatakan komitmen untuk memperuntukkan kira-kira RM1 billion kepada kerajaan negeri Pulau Pinang bagi melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir di beberapa daerah.

“Turut dikerahkan adalah seramai 6,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan misi bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA 2.0) serta 500 pegawai dan anggota beserta pelbagai aset-aset seperti lori, van, kenderaan pacuan empat roda serta kenderaan pelbagai guna (MPV),” menurut kenyataan itu.

Malah, kerajaan, agensi kerajaan dan NGO jelasnya, turut memberi sumbangan seperti beg sekolah, kontena berisi keperluaan asas dan kit bantuan kepada mangsa banjir merangkumi tilam, bantal, barang keperluan memasak serta makanan.

Justeru, MANTAP berharap dengan adanya bantuan daripada pihak kerajaan dan NGO, semua keperluan mangsa banjir dapat dipenuhi, sekali gus meringankan beban ditanggung mereka.

“Kita juga berharap pihak yang lebih berkemampuan digalakkan untuk saling membantu mangsa banjir tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik,” katanya.
 
Jelas kenyataan itu, MANTAP 7, membabitkan kira-kira 100 orang pelajar mahasiswa dari seluruh negara akan turun padang untuk terbabit dalam program sukarelawan pasca banjir di Pulau Pinang dalam masa terdekat.

Turut bersama dalam misi kemansiaan itu nanti adalah sukarelawan dari Biro Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) UMNO yang dipengerusikan Datuk Razali Ibrahim, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.