13 March 2017

lo-359-e1489311793425.jpg

Genap sebulan selepas empat pemimpin DAP mengumumkan keputusan keluar parti, kejutan terus berlaku kepada kepemimpinan DAP Melaka apabila 182 ahli parti itu mengambil langkah sama dengan keluar parti, semalam. 

Dalam sidang media di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Bebas di Kota Laksamana di sini, bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka, Liou Chen Kuang berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pendekatan DAP dalam menyelesaikan isu membabitkan empat bekas pemimpin parti negeri itu sebelum ini.

Katanya, keputusan keluar parti itu dibuat sebagai mewakili suara kebimbangan akar umbi terhadap tingkah laku kepemimpinan pusat DAP yang dilihat bercanggah serta tersasar dalam perjuangan sebenar parti politik berkenaan.

"Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, sendiri berulang kali mendakwa dengan merujuk bekas pemimpin DAP yang keluar parti sebagai 'barah' dalam parti, sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati akar umbi.

"Kata-kata kesat Kok Wai tidak boleh diterima kerana Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him sebagai contoh adalah ahli yang sudah berkhidmat dengan parti selama 35 tahun," katanya pada sidang media yang dihadiri seramai kira-kira 20 bekas ahli DAP itu semalam.

Dalam pada itu setiausaha DAP Melaka Khoo Poay Tiong, yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Ayer Keroh berkata perkara itu hanya diketahui beliau menerusi pihak media.



"Saya dimaklumkan oleh wartawan bahawa terdapat sekumpulan anggota DAP mengadakan sidang media hari ini, dengan menyatakan mereka mahu meninggalkan parti.



"Dalam sidang media itu, mereka memaklumkan akan menghantar surat rasmi keluar parti itu kepada DAP pusat melalui perkhidmatan kurier," katanya lapor Portal Bernama. 



Khoo berkata pihaknya belum menerima surat rasmi daripada anggota DAP berkenaan berhubung tindakan keluar parti.



Ditanya sebab mereka bertindak sedemikian, beliau berkata mungkin kerana tidak berpuas hati. Beliau enggan menggulas lanjut.



Pada 12 Feb lepas, ADUN Duyong Goh Leong San, ADUN Bachang Lim Jak Wong, ADUN Kesidang Chin Choon Seong dan Anggota Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him mengumumkan keluar DAP.